Kesedaran wanita dalam membuat perancangan pewarisan harta masih lagi rendah. Meskipun kebanyakan mereka mengetahui kepentingan untuk melindungi waris-waris yang ditinggalkan. Sehinggalah berlaku kematian dalam keluarga, yang menyebabkan mereka hilang tempat bergantung dan pada masa yang sama tidak bekerja tetapi mempunyai tanggungan. Pada ketika itu wanita akan mula sedar mengenai kepentingan perancangan pewarisan yang sepatutnya dilakukan dan mencari jalan penyelesaian berkenaan harta pusaka yang ditinggalkan. Kepentingan Merancang Pewarisan Harta; Wanita Perlu Tahu Apa?
Biarpun wanita disifatkan seorang yang bijak dan teliti mengatur perancangan masa hadapan dan kewangan berbanding orang lelaki, tetapi tidak ramai yang mengambil berat terhadap perancangan pewarisan. Malahan, terdapat segelintir wanita yang bujang dan berkerjaya langsung tidak pernah terfikir ke mana harta yang dikumpul semasa hayat mereka akan diagihkan apabila meninggal dunia. Sedangkan perancangan pewarisan adalah pelengkap kepada perancangan kewangan yang patut dilakukan semasa hayat. Mulai hari ini, utamakan perancangan masa hadapan, jika ada lebihan barulah digunakan untuk membeli barangan kehendak seperti beg tangan dan lain-lain. JANGAN kita sebagai wanita salah dalam percaturan kewangan sendiri sehingga menyekat kebebasan kewangan.
Baca : Kunci Rumah Pertama
Kepentingan Perancangan Pewarisan Harta : Peringatkan suami dan pasangan
Jika seseorang wanita itu telah berkahwin, kita sewajarnya sentiasa memainkan peranan mengingatkan suami secara kerap supaya melaksanakan perancangan pewarisan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku, terutama membabitkan harta yang ditinggalkan. Jika suami belum membuat perancangan harta secara wasiat atau hibah, bincang dan beritahu suami untuk melakukannya selagi masih diberikan kesihatan yang baik dan kudrat untuk bergerak ke mana-mana.
Tidak kiralah sebagai seorang isteri yang berkerjaya ataupun suri rumah sepenuh masa sahaja, wanita perlu memainkan peranan mengingatkan suami untuk melaksanakan perancangan pewarisan demi kelangsungan hidup bersama anak apabila suami meninggal dunia kelak.
Begitu juga jika wanita tersebut seorang yang hidup bersendirian sama ada ibu tunggal atau belum berkahwin, mereka juga tidak terkecuali membuat perancangan pewarisan supaya harta yang dimiliki dapat dibahagikan dalam bentuk jariah dan selebihnya dibahagikan kepada waris-waris yang berhak. Kepentingan merancang pewarisan harta adalah untuk kebaikkan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan.
Tanpa persiapan yang betul ke atas perancangan pewarisan tidak ada jaminan harta yang dikumpul semasa hidup bakal diwarisi dengan mudah, terutama jika seseorang mempunyai anak angkat dan anak tiri yang sememangnya kita berhasrat supaya mereka menikmati manfaat daripada harta pusaka yang ditinggalkan.
Simpan dan rekod maklumat harta :
Dalam membuat perancangan pewarisan, perkara pokok yang perlu diketahui oleh wanita adalah dengan memastikan anda dan suami menyimpan semua geran atau perjanjian yang ada. Jika masih ada hutang pembiayaan, pastikan semua resit bayaran, penyata pembiayaan tahunan dan penjanjian pembiayaan disimpan dengan baik. Anda juga perlu menyimpan ‘cover note’ atau polisi takaful yang melindungi pembiayaan ke atas harta tak alih. Ia penting supaya baki hutang pembiayaan dapat diselesaikan jika terjadi sebarang musibah. Semua dokumen yang berkaitan harta alih perlulah disimpan seperti buku akaun, penyata pelaburan dan polisi. Jika ada nombor telefon broker, remisier, ejen atau syarikat pelaburan dan takaful yang sering dihubungi, catatkan untuk kemudahan membuat sebarang tuntutan atau urusan. Untuk akaun simpanan, jika ada kad ATM, bolehlah dicatatkan nombor pin setiap kad ATM yang ada.
Kepentingan Merancang Pewarisan Harta :
Selain maklumat berkenaan harta, anda jangan lupa untuk mengenalpasti semua hutang yang masih ada. Tidak kira hutang dengan Allah seperti zakat, badal haji, fidyah dan kaffarah atau hutang dengan individu atau dengan bank/institusi kewangan. Semua perjanjian pembiayaan, resit bayaran dan penyata pembiayaan perlu disimpan dengan baik. Sebaik-baiknya, hutang perlu diselesaikan semasa hayat masih ada. Tetapi, jika ajal sudah menjemput, menjadi tanggungjawab waris untuk menyelesaikan hutang yang masih berbaki. Jika menjadi pemiutang (pemberi hutang) dan penjamin, semua dokumen berkaitan juga perlu didokumenkan.
Selepas mengenalpasti semua harta dan hutang, anda perlu menyenaraikan semua waris yang ada. Waris-waris yang perlu disenaraikan adalah anak-anak, isteri, ibu dan bapa. Jika sebelum ini pernah berkahwin lain, mempunyai anak dan bercerai, perlulah dikenalpasti anak-anak yang terpisah tersebut. Waris-waris yang terputus hubungan perlu dikesan dan dicari, walaupun mereka tinggal berjauhan, mereka masih mempunyai hak ke atas harta pusaka yang akan ditinggalkan. Dapatkan dan simpan salinan sijil beranak, kad pengenalan, sijil kahwin/nikah dan sijil kematian (jika waris telah meninggal dunia). Jika ada perkahwinan yang belum didaftarkan, daftarkan segera supaya tidak berlaku drama-drama pertikaian selepas kematian nanti. Begitu juga dengan anak-anak yang tidak didaftarkan, pastikan semuanya berdaftar dan mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan. Setiap waris adalah berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan.
Kenali instrument perancangan pewarisan harta
Langkah yang paling penting ialah bagaimana anda sebagai wanita menasihati suami atau melakukan untuk diri sendiri melaksana instrumen-instrumen perancangan pewarisan harta.
Antara instrumen-intrumen yang boleh digunakan adalah:
Wasi / Penama / Pentadbir – Melantik wasi / penama / pentadbir yang akan bertindak untuk mentadbir dan bertanggungjawab untuk menguruskan pembahagian harta pusaka kepada benefisiari dan waris-waris yang berhak selepas kematian nanti.
Hibah – Memindahmilikkan / menghadiahkan harta semasa hidup kepada mana-mana waris atau bukan waris atau mana-mana orang yang disayangi.
Wasiat – Mengikrarkan untuk mewasiatkan harta semasa hidup untuk dibahagikan selepas mati pada kadar 1/3 harta sahaja dan bukan kepada waris. Sekiranya lebih dari 1/3 atau kepada waris, ia tidak akan berkuatkuasa melainkan dipersetujui oleh waris-waris lain nanti.
Amanah – Menyerahkan harta kepada pemegang amanah yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dan melindungi harta pusaka anda.
Wakaf – Menginfaqkan harta pusaka yang ditinggalkan sebagai sumbangan untuk kegunaan umum seperti pembinaan masjid. Wakaf berfungsi sebagai kesinambungan amalan selepas kematian. Jumlah harta yang diwakafkan sekiranya selepas kematian adalah tidak melebihi 1/3 daripada nilai kesemua harta bersih yang ditinggalkan.
Faraid – Pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh hukum syarak. Faraid memastikan pembahagian yang adil dan saksama kepada kesemua waris yang ditinggalkan. Pecahan pembahagian bergantung kepada jenis (anak lelaki, anak perempuan, isteri, ibu, bapa) dan bilangan waris yang masih ada.
APA YANG PERLU DIBUAT? ; Dapatkan khidmat dan nasihat profesional
Selepas membuat draf pewarisan harta dan memilih instrumen-instrumen yang sesuai, draf tadi perlulah didokumenkan supaya menjadi satu dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan yang sah. Untuk menghasilkan dokumen yang sah memerlukan kepada bantuan daripada mereka yang arif dalam bidang pewarisan dan undang-undang.
Sediakan peruntukan kewangan
Apabila memerlukan khidmat profesional untuk menyediakan dokumen-dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan, sudah semestinya memerlukan kos. Oleh itu, sediakanlah peruntukan kewangan secukupnya. Walaupun kos terpaksa dikeluarkan, ketahuilah bahawa kos yang dikeluarkan ini mungkin lebih rendah jika dibandingkan dengan kos mengurus harta pusaka yang terpaksa waris-waris keluarkan jika tiada perancangan awal dibuat.
BACA JUGA : Kenapa Perlu Hibahkan Harta dan Tunai?
Maklumkan perancangan pembahagian kepada waris atau orang yang boleh dipercayai.
Langkah ini dilakukan bagi memberitahu waris atau orang yang dipercayai supaya menghubungi wasi, pemegang amanah atau pentadbir yang telah dilantik jika berlaku kematian oleh pemilik harta. Perancangan yang bijak yang telah dilakukan sebelum ini akan dapat membantu waris-waris seterusnya mereka boleh menikmati harta pusaka dengan penuh kesyukuran dan mengekalkan hubungan erat silaturrahim dalam keluarga.
Maklumat lanjut : Pemilik harta boleh melantik Majlis Agama Islam Selangor sebagai pihak berautoriti untuk bertindak sebagai wasi, pemegang amanah atau pentadbir harta pusaka. Hubungi MAIS di talian 03-55143773 atau 3772 atau layari www.mais.gov.my.
nice sharing UN. Penting ni dalam bab uruskan harta.
Wanita perlu mainkan peranan dan ambil tahu pasal wasiat nie.. semua sbg langkah persedian bg elak perkara2 yang tak diingini
Betul tu, at least apa2 berlaku kita tak la tercengang..mati kutu hilang punca tak tahu apa nak buat
suami kita antara ejen yang uruskan hibah dan takaful..dia memang akan bagitau siap2 tentang takaful dan hibah yang dia ada supaya kita maklum dan tahu apa nak buat bila dia tak ada nanti..dia buatkan juga hibah untuk kita dan kita pulak yang maklumkan pada pewaris tentang kewujudan hibah tu..benda ni nampak macam menakutkan untuk dibincangkan dengan pasangan mahupun ahli keluarga, tapi sangat penting supaya tak berlaku kesulitan di kemudian hari..
Owh…sunah mmg bnyk.ilmu ni..sbb suami selalu sharekan..benda mmg.menakutkan..tapi ianya persediaan penting utk masa depan supaya bila.jadi apa2 tidak kalut
Thanks un sharing..bnyak rupa nya yg suzie dpt tau selepas baca un punya blog..
Sama2 ,ilmu untuk kita semua.
Ada dulu saya dengar di radio mengatakan hibah boleh dibuat hanya kepada bukan waris. Kalau waris akan tergantung kepada faraid. Betul ke?
Setakat ilmu saya ada hibah boleh kepada sesiapa kita nak bagi.kena buat surat kuasa. sebab tu Mais bagi khidmat nasihat. Hibah ni seolah kita dah tentukan pada siapa kita nak bagi harta tertentu. boleh bagi selagi hayat ada.
Bagus buat macam ni. Memudahkan urusan di kemudian hari selepas tiada.