Pandemik Covid-19 telah menyebabkan berlakunya kacau bilau dalam sistem kehidupan masyarakat. Ianya telah menyebabkan berlakunya kelumpuhan dalam sistem sosial dan ekonomi khasnya. Bila berlakunya sesuatu isu seperti ini, ianya menyebabkan tiada persediaan oleh mana-mana pihak. Ada dikalangan masyarakat yang kehilangan pekerjaan seterusnya menyebabkan mereka sekali gus kehilangan sumber pendapatan. Oleh yang demikian pelbagai kempen telah dilaksanakan termasuklah dengan inisiatif kempen #benderaputih yang telah dicetuskan oleh seorang warga Malaysia. Walaupun pelbagai kempen telah dianjurkan dan dibuat, tidak dinafikan sifat murni masyarakat Malaysia ini turut berdepan dengan cabaran dalam pelbagai aspek terutamanya mereka yang turun kelapangan untuk membantu secara terus mangsa-mangsa yang berhadapan dengan isu Covid-19.
Menurut istilah, jika difahami secara terperincinya apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia ini adalah tanggungjawab sosial yang mereka laksanakan tanpa apa-apa paksaan. Ini adalah kerana rakyat ada kesedaran tanggungjawab sosial. Sikap dan sifat yang murni ini dalam bangkit bersama membantu orang lain yang berada dalam situasi kepayahan sekarang adalah suatu nilai sosial yang perlu dipandang tinggi. Usaha murni ini adalah merupakan suatu tindakan yang menunjukkan kebersamaan rakyat untuk membantu satu sama lain tanpa perlu menunggu bantuan serta inisiatif daripada pihak berwajib. Jika dilihat, kempen #benderaputih adalah seperti menjadi harapan baharu kepada golongan yang memerlukan bantuan. Peningkatan kibaran bendera putih ini jelas menunjukkan bahawa ramai orang terkesan dan memerlukan perhatian.
Cabaran Dalam Aspek Sosial
Dalam pelbagai usaha yang dilakukan, mereka yang ingin membantu mengurankan beban masyarakat yang dalam kesusahan juga menghadapi cabaran tertentu. Jika dilihat daripada aspek sosial, niat murni golongan NGO dan juga orang persendirian yang turun ke lapangan ini turut mendapat kecaman masyarakat. Contohnya, Pesuruhjaya Pas Pahang, En Rosli Abdul Jabar menyatakan bahawa dia sendiri kurang bersetuju dengan tindakan kempen yang dianjurkan iaitu dengan mengibarkan bendera putih. Menurutnya, kempen itu tidak sewajarnya dilakukan kerana masih ada banyak lagi cara lain untuk meminta bantuan daripada pihak lain. Pada pendapat yang diberikan beliau mengulas, yang mengibar bendera putih ibarat sebagai menyerah kalah dalam peperangan. Namun begitu, walaupun beliau mengatakan demikian bahawa risau mungkin ada pihak yang mengambil kesempatan, masih ada cara lebih baik dan ada cara yang boleh menutup keaiban orang, tetapi ianya seperti tiada asas dalam hujahan pendapat yang diberikan.
Ini kerana dalam mengambil tindakan tanggungjawab sosial kepada apa juga siatuasi yang berada dalam lingkungan kehidupan harian kita, isu siapa yang menipu , isu berhak atau tidak , isu keaiban dan sebagainya hanyalah isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Ini kerana dalam memberikan bantuan sebagai rakyat Malaysia yang ada kesedaran sosial, bantu siapa sahaja dalam kesusahan. Keluarkan orang yang berada dalam kesempitan daripada lorong kepayahan itu adalah pokok utama yang lebih penting. Tiada orang yang suka-suka meminta bantuan orang lain jika mereka berupaya melakukan sesuatu. Jika munkin ada yang benar-benar ada niat yang tidak elok, mungkin jika dikaji secara kajian ilmiah sekalipun ianya mungkin kurang daripada sepuluh peratus daripada mereka yang sangat memerlukan bantuan keperluan untuk meneruskan kehidupan.
Oleh itu, dalam melaksanakan tanggungjawab sosial, ianya bermula daripada diri sendiri, sikap dan sifat yang terbentuk dalam jiwa setiap insan. Jika dikatakan bahawa bantuan ini hanya mewujudkan golongan yang malas berusaha, bagi saya ianya adalah tidak benar. Dalam satu klip video yang pernah saya tonton hasil daripada Dhar Man Studio, juga dalam video-video yang di paparkan selalunya memberikan inspirasi bahawa mungkin orang yang dibantu hari ini akan bangkit daripada kehidupan sekarang dan menjadi manusia yang lebih baik sert aboleh membantu ortang lain pada masa akan datang.
Cabaran Dalam Aspek Ekonomi
Jika di lihat dalam isu cabaran dalam aspek ekonomi pula, untuk mempertingkatkan sifat tanggungjawab sosial masyarakat Malaysia pada masa sekarang semua pihak perlu memainkan peranan. Mungkin pada masa pandemik Covid-19, pengeluaran kurang tetapi permintaan kepada barangan keperluan bertambah. Pihak peniaga boleh mengambil tindakan memberikan jualan barangan dan belian secara pukal dengan harga lebih murah serta tidak memonopoli harga barang. Ini secara tidak langsung akan memudahkan dan memberikan lebih ruang untuk orang lain membantu masyarakat yang dalam kesusahan. Contohnya, Ustaz Ebit Lew dalam satu wawancara mengatakan bahawa dia mendapat harga barangan keperluan dengan harga lebih murah kerana membeli secara pukal melalui Elewsmart. Melalui tindakan yang demikian, jika harga sekampit beras dibeli dengan harga biasa RM25.00, tetapi Ustaz Ebit Lew mendapat harga belian dengan harga sekampit RM20.00 baki RM5.00 boleh dikumpulkan daripada 5 kampit seterusnya untuk diberikan kepada satu keluarga yang lain. Jelas bahawa jika ramai peniaga, peruncit serta pemborong dan syarikat-syarikat besar ada tanggungjawab sosial seperti ini, lebih ramai rakyat boleh dibantu.
Cabaran lain dalam sektor ekonomi pula dalam usaha untuk membantu masyarakat adalah sekatan pergerakkan kerana pandemik Covid-19. Untuk menyemarakkan sifat tanggungjawab sosial masyarakat Malaysia dalam aspek ekonomi, belilah barangan dan sokong peniaga tempatan dan setempat terutama bagi membantu mereka yang terjejas. Mungkin ada dikalangan masyarakat yang kehilangan pekerjaan dan mula menjual roti atau makanan dari rumah. Maka, untuk mempertingkatkan sifat tanggungjawab sosial masyarakat Malaysia, saranan untuk saling membantu urusan jual beli daripada kalangan setempat juga perlu dipergiatkan. Ini bukan sahaja membantu membaiki ekonomi mereka tetapi juga menyebabkan aliran ekonomi bergerak dan masyarakat juga mestilah di sarankan untuk tidak terus membuat pembelian panik. Ini kerana ianya boleh menyebabkan kekurangan penawaran, tiada bekalan yang cukup kerana sektor peruncitan kekurangan barangan keperluan harian jika tidak dikawal.
Cabaran aspek ekonomi adalah kos pengangkutan yang mahal menyebabkan pihak NGO dan masyarakat yang ingin menyalurkan bantuan barangan keperluan dalam bilangan yang banyak untuk program bantuan pek makanan, op bantu, bendera putih dan food bank perlu sediakan kos yang terlebih mahal kerana kos yang ditawarkan untuk pengankutan tidak setimpal.
Cabaran Dalam Aspek Politik
Cabaran politik untuk mempertingkatkan sifat tanggungjawab sosial masyarakat Malaysia adalah dengan meyakinkan rakyat bahawa kerajaan tidak gagal dalam memastikan kebajikan rakyat terjaga. Selain itu, antara cabaran utama dalam politik pastinya untuk meyakinkan masyarakat yang ahli politik telah berusaha keras membantu merkea yang memerlukan. Oleh itu, bagi mempertingkatkan sifat tanggungjawab sosial masyarakat Malaysia, apa juga komponen politik negara mestilah berganding bahu untuk membantu. Tidak sahaja dengan kempen dan berhujah semata-mata, kini ahli politik perlu lebih kerap untuk turun kelapangan menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat seperti menyalurkan bantuan kepada masyarakat setempat.
Walaupun ahli politik turun membantu masyarakat menyalurkan bantuan keperluan asas kepada rakyat semasa negara masih berhadapan dengan Covid-19, mereka mestilah memastikan jarak sosial dipatuhi, memakai pelitup muka dengan betul dan setiap S.O.P yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara di ikuti. Ini juga adalah contoh secara langsung untuk mempertingkatkan sifat tanggungjawab sosial masyarakat Malaysia. Membantu dan memberikan pengajaran melalui minda separa sedar kepada masyarakat bahawa keluar bekerja, membantu orang lain adalah tidak salah tetapi masih lagi mengamalkan slogan #kitajagakita dan mematuhi S.O.P. Contohnya Dr Ismail, ADUN Pengkalan Kundor membantu mangsa-mangsa COVID19 yang terpaksa kuarantin di rumah akibat positif COVID19 dan kontak rapat kepada mangsa dengan menyumbangkan keperluan makanan kepada mangsa di Kampung alor Ibus dan Kampung permatang Bongor.
Analisa
Walaupun pelbagai cabaran dihadapi samada tentangan dalam menganjurkan apa juga program bantuan, cabaran dalam ekonomi kerana kekurangan dana dan juga cabaran dalam aspek politik, rakyat Malaysia mempunyai semangat dan tanggungjawab sosial yang sangat baik. Malah usahawan-usahawan muda dan syarikat besar juga tidak terkecuali dalam membantu menyalurkan bantuan seperti bantuan PPE dan juga bantuan-bantuan lain seperti menawarkan bantuan kontena khas simpan mayat pesakit Covid-19.
Tindakan pantas masyarakat kita oleh akan menyelamatkan individu terbabit untuk meneruskan hari-hari yang sukar. Mungkin juga dapat menyelamatkan nyawa. Semakin berpanjangan pandemik Covid-19, semakin ramai individu berisiko tinggi untuk mengalami tekanan mental, kemurungan dan tekanan akibat keadaan semasa yang dihadapi. Bantuan yang dihulurkan dapat meringankan beban yang ditanggung mereka yang terlibat. Peranan masyarakat untuk membantu menunjukkan semangat keprihatinan yang tidak berbelah bagi memastikan bantuan yang diterima sama rata tanpa mengira latar belakang politik, agama dan bangsa. Maka, dalam usaha untuk terus mempertingkatkan sifat tanggungjawab sosial masyarakat Malaysia, jika ada dikalangan kita tidak mampu dari segi wang ringgit boleh terus membantu menaikkan semangat satu sama lain melalui apa juga medan seperti di media sosial, Facebook, Instagram, Youtube dan juga mungkin melalui penulisan blog dan sebagainya.
Rumusan
Isu pandemik Covid-19 bukan cabaran biasa kepada rakyat. Ramai yang terkesan pada ketika ini. Menurut Berita Harian pada 6 Ogos 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 beralih kepada kumpulan B40. Malah menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 juga turut terkesan akibat pandemik COVID-19 beralih kepada kumpulan isi rumah M40. Banyak isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan, terutama mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain. Maka, sokongan antara satu sama lain amat diperlukan untuk memastikan orang sekeliling kita terus bangkit melawan kehidupan ini. Pandemik Covid-19 akan berakhir. Cuma belum tiba masanya. Untuk mempertingkatkan sifat tanggungjawab sosial masyarakat Malaysia, kita juga perlu memastikan setiap orang yang dekat dengan kita mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan daripada Covid-19 terus menular. Kesimpulan yang boleh dibuat adalah tanggungjawab sosial merupakan tanggungjawab semua pihak. Ia tidak hanya di bahu pemimpin. Tanggungjawab sosial adalah satu kewajipan yang perlu dipikul semua pihak termasuk individu. Penerapan dan perlaksanaan tanggungjawab sosial dapat membantu dalam melahirkan warga negara Malaysia yang bertanggungjawab.