McDonald's dekati masyarakat
Review

McDonald’s dekati masyarakat di utara tanahair dengan sumbangan lebih RM500,000

Peris Indera Kayangan…wah inilah negeri Un dilahirkan. Syukur, McDonald’s tidak lupa dekati masyarakat di utara tanahair dengan sumbangan lebih RM500,000. Merasa orang jauh nun di Perlis sumbangan yang disampaikan oleh McDonald’s.

Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Perlis menyaksikan McDonald’s Malaysia menyampaikan sumbangan berjumlah RM507,500 bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik di negeri ini. Pelbagai inisiatif diumumkan di bawah Program Komuniti yang dianjurkan, termasuklah pembayaran zakat perniagaan McDonald’s, pelantikan belia-belia untuk menyertai SLDN McDonald’s dan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah”.

Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia berkata :

“Kami berhasrat mewujudkan impak positif kepada masyarakat di sekitar lokasi restoran kami. Komitmen kearah kesejahteraan masyarakat merupakan sesuatu yang cukup dekat di hati warga kerja McDonald’s malah ia juga merupakan nilai teras syarikat. Besar harapan kami agar sumbangan yang disampaikan mampu mengukir senyuman kegembiraan kepada golongan yang memerlukan di negeri Perlis ini,”

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mencemar duli menjadi tetamu kehormat majlis tersebut, yang diadakan sempena Program Kayuhan “MAIPs Peduli” kali ke-93. Baginda hadir menyempurnakan Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Perlis selepas mengadakan lawatan berbasikal di sekitar kawasan kampung di negeri ini untuk penyerahan zakat kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

Baginda yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs komited melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan memandangkan ia juga sebahagian daripada usaha berterusan MAIPs, bagi memastikan nasib golongan masyarakat yang memerlukan di negeri ini terus terpelihara.

“Kami gembira melihat syarikat korporat seperti McDonald’s tampil kehadapan membantu golongan kurang berkemampuan di Perlis. Apa yang dilaksanakan oleh syarikat khidmat segera tersebut wajar dipuji dan dijadikan contoh. Program Komuniti McDonald’s yang dilaksanakan ini amat bertepatan dengan visi kami untuk memacu pembangunan ummah cemerlang menjelang 2020 menerusi nilai-nilai kemanusiaan dan sikap prihatin terhadap keperluan masyarakat,” kata Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Agihan zakat perniagaan McDonald’s Malaysia

McDonald’s Malaysia memenuhi kewajipan zakatnya kepada negeri Perlis untuk tahun 2019 dengan bayaran zakat berjumlah RM101,000.

McDonald’s Malaysia baru-baru ini turut menerima Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), dan merupakan entiti perniagaan pertama yang menerima sijil pengiktirafan tersebut di Malaysia.

“Sebagai sebuah entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam, ianya merupakan tuntutan agama untuk kami mengeluarkan zakat apabila cukup haul untuk diagihkan kepada golongan masyarakat yang memerlukan. Kami telah membayar zakat sejak tahun 2017 setelah diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd. iaitu sebuah anak syarikat Reza Group dari Arab Saudi,” kata Azmir.

Program “Kembali ke Sekolah”

McDonald’s dekati masyarakat, lebih 1,000 kanak-kanak dari 36 sekolah di seluruh negeri Perlis menerima pek “Kembali ke Sekolah” tahun ini. Program “Kembali ke Sekolah” adalah inisiatif tahunan yang diterajui oleh McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Program “Kembali ke Sekolah” 2019 yang dilancarkan di Kuala Lumpur pada pertengahan Oktober lalu, merupakan yang terbesar setakat ini – dengan jumlah sumbangan mencecah RM3 juta bagi membolehkan seramai 30,000 kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin bandar di seluruh negara menerima pek “Kembali ke Sekolah” menjelang tahun persekolahan 2020. Ia bakal disampaikan secara berperingkat di negeri-negeri seluruh Malaysia sehingga penghujung tahun ini.

Pek “Kembali ke Sekolah” yang diagihkan mengandungi satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, sepasang stoking dan beg sekolah bernilai RM100.

Pada tahun 2018, McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia telah menyampaikan pek “Kembali ke Sekolah” bernilai RM1.7 juta kepada 17,000 kanak-kanak sekolah rendah. Tahun sebelum itu pula menyaksikan McDonald’s dan RMHC membantu 6,000 pelajar menerusi jumlah sumbangan sebanyak RM1.2 juta.

RMHC Malaysia merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia yang bermatlamat membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia. Hubungi ibu pejabat RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388 atau layari https://rmhc-malaysia.my/get-involved/make-a-donation/ jika anda berminat menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan untuk RMHC Malaysia.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge