JEJAKI SEJARAH KESULTANAN NEGERI SELANGOR DI MUZIUM BERSEJARAH DI DAERAH KUALA SELANGOR

Tidak lengkap rasanya kunjungan ke Kuala Selangor jika tidak melawat ke Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor. Muzium yang terletak di atas puncak Bukit Melawati, dahulunya merupakan kediaman rasmi bagi pegawai daerah Kuala Selangor pada sekitar tahun 1960-an sebelum ia diubah suai pada tahun 2006 untuk dijadikan sebagai muzium sejarah.

Sejarah mengenai pembukaan Kota Melawati

Di muzium ini tersimpan sejarah mengenai pembukaan Kota Melawati yang merupakan pusat pentadbiran awal negeri Selangor, semenjak ia di asaskan oleh Raja Lumu (Sultan Salehudin) pada tahun 1766. Kota Melawati yang telah berusia lebih dari 200 tahun ini merupakan mercu tanda bagi perkembangan awal institusi kesultanan Selangor, sehingga perpindahan pusat pentadbiran Selangor ke Bukit Jugra, Kuala Langat ketika pemerintahan DYMM Sultan Selangor yang ke-4 iaitu Sultan Abdul Samad ibni al-Marhum Tengku Abdullah.

Seterusnya, Sejarah dan penubuhan negeri Selangor disusun secara kronologi melalui pameran yang di bahagikan kepada tujuh seksyen di muzium ini. Di sini, pengunjung boleh mengetahui asal usul nama Selangor yang dikatakan diambil bersempena Sungai Selangor yang terdapat di daerah Kuala Selangor, juga peristiwa penaklukan Kota Melawati oleh Belanda dan serangan balas Sultan Ibrahim yang dapat menakluk semula Kota Melawati dalam masa sehari dan lain-lain.

Kesan-kesan artifak peninggalan sejarah yang terdapat di sekitar kawasan puncak Bukit Melawati

Tidak hanya tertumpu pada pameran di dalam muzium semata, para pengunjung turut berpeluang melihat sendiri kesan-kesan artifak peninggalan sejarah yang terdapat di sekitar kawasan puncak Bukit Melawati sebagai bukti kewujudan kota pentadbiran dan pertahanan negeri Selangor suatu masa dahulu. Antara peninggalan sejarah yang masih terpelihara adalah seperti batu hampar yang terletak di tengah-tengah kawasan lapang yang dipercayai sebagai halaman istana.

Tambahan pula, batu hampar tersebut pernah digunakan sebagai tempat menjatuhkan hukuman kepada pesalah dan juga tempat Sultan melepaskan waktu singgang (berehat). Selain itu di puncak bukit tersebut juga terdapatnya benteng kubu pertahanan yang dibina ketika Kota Melawati diserang Belanda dan tangga seratus yang dipercayai telah digunakan oleh pada pedagang untuk ke istana Sultan setelah menambat perahu mereka di Pengkalan Batu Buruk.

Muzium Kuala Selangor : Perigi beracun

Selain itu, turut terdapat di situ adalah perigi beracun yang dikatakan telah digunakan untuk menghukum penderhaka DYMM Tuanku Sultan dengan merendamkannya ke dalam perigi sehingga ke paras dagu yang di dalamnya terdapat ramuan beberapa jenis getah dan miang rebung. Selain daripada tempat-tempat yang dinyatakan, para pengunjung juga boleh melawat ke makam Sultan Selangor iaitu daripada Sultan Sallehuddin hingga ke Sultan Muhammad Shah.

Bagi mereka yang berminat untuk melihat sendiri tarikan bersejarah ini haruslah menziarahi dan menjejakkan kaki ke Bukit Melawati, Kuala Selangor.

Info:

Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor sedia menanti kehadiran anda setiap hari bermula dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang. Tiada bayaran masuk yang dikenakan kepada pengunjung bagi kemasukan ke muzium. Permohonan bagi lawatan berpandu bolehlah dihantarkan kepada pihak pentadbiran muzium secara emel ke info@padat.gov.my atau hubungi muzium di 03-3289 6115 / 3289 7167.

Posts Tagged with…

Write a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge